Monday 21 November 2011

dugaan dan cabaran

oke..first and far-most..i would like to say..this is copied by one website..so, it's not totally my words..hehe..
but i do hope, that, it can enlightened others..tq..and be strong to my dear rumate sarah..

 Di dalam al-Quran, ujian dan dugaan disebut oleh Allah sebagai البلاء (bala’) serta الفتنة (fitnah). Menurut kamus المحيط (al-Muhit), kedua-duanya berkongsi maksud yang sama. [Al-Muhit, Kaherah, Mesir. http://lexicons.sakhr.com/intro/intro.aspx?fileurl=takdeem.asp]
Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak. Ujian mengajar seseorang untuk jadi lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.
Menurut Ibn Manzur dalam Lisanu al-‘Arb, bala’ itu adalah ujian yang terdiri daripada yang baik juga yang buruk. Seperti mana yang diberitakan pada surah al-Anbiyaa’ iaitu;

ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]
Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang putus harap.
Dan al-Hafiz ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan ayat ini, bahawa Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan. [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]
Ujian yang berbeza untuk mengukur keimanan
Berdasarkan tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa pada setiap orang, berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan;

لا يكلف الله نفسا إلا وسعها

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 286]
Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan
Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut;

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]
Ganjaran menanti bagi yang diuji
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifatan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;

إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، وإن الله تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]
Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan seorang manusia. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan keredhaan. Dan padanya rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya. Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah.
Hadith di atas termasuk dalam bab Sabar (الصبر) oleh Imam al-Nawawi dalam karya beliau dalam bidang hadith; iaitu Riyadh al-Salihin. Di sini dapat dijelaskan bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah bersabar dengan segala dugaan serta mehnah yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Jelas juga, daripada hadith tersebut bahawa semakin besar dugaan yang diperoleh oleh seorang manusia, maka semakin besar ganjara pahala yang akan dia dapati.
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan diganjari dengan syurga;

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين آمنوا معه متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). [Al-Baqarah: 214]

No comments: